KUALA LUMPUR: Microsoft Malaysia, anak syarikat perisian komputer terkemuka dunia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Microsoft Corporation tidak terbabit dengan sebarang aktiviti atau menyokong apa-apa bentuk e-mel spam atau ‘sampah’.
Jurucakap Microsoft Malaysia berkata, perbuatan pihak tertentu itu disedari pihaknya sejak tiga tahun lalu.
“Kami meminta orang ramai tidak melayan e-mel berangkai yang mendakwa pengasas Microsoft, Bill Gates mahu memberi wang kepada penggunanya.
“E-mel yang mencalarkan imej Microsoft ini mengarut dan tidak masuk akal. Justeru, jika terima abaikan,” katanya ketika mengulas laporan muka depan Harian Metro kelmarin mengenai sindiket penipuan Internet yang menggunakan nama Gates bagi tujuan mengaut keuntungan.
Laporan memetik, taktik licik terbaru sindiket penipuan Internet dikesan menggunakan nama jutawan yang juga pengasas perisian Microsoft, Gates, bagi memerangkap mangsa melalui e-mel.
Antara kandungan e-mel yang kini tersebar luas di seluruh negara ialah ‘tidak perlu mengeluarkan sebarang modal atau pelaburan, namun dijanjikan pulangan wang ribuan ringgit setiap minggu dengan hanya menghantar e-mel’.
Dakyah e-mel berangkai itu menyatakan Gates mahu berkongsi kekayaan melimpah-ruah dimilikinya dengan pelanggannya, menerusi dua syarikat tersohor, Microsoft dan AOL.
Naib Presiden Dapat Vista Sdn Bhd yang juga pengasas dapat.com, Azli Paat, menjelaskan e-mel berantai seperti itu digunakan sindiket untuk menjual nama, alamat, e-mel dan nombor telefon mangsa kepada syarikat tertentu.
Sementara itu, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) akan mengambil langkah serius membanteras sindiket yang menjalankan kegiatan jual beli maklumat peribadi orang ramai tanpa kebenaran dan dengan tujuan jahat.
Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Salang Gandum, berkata perbuatan menganiaya orang ramai dengan modus operandi tersembunyi di sebalik emel sebagai tidak beretika.
“Sekiranya kejadian itu benar berlaku, ia sesuatu perniagaan yang tidak beretika. Mana boleh jual maklumat peribadi orang lain tanpa kebenaran.
“Pelaku boleh diambil tindakan keras mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM),” katanya.
Microsoft Malaysia nasihat orang ramai abai e-mel berangkai
Posted by Ejen Takaful | Takaful Agent | 9:22 AM | Microsoft | 0 comments »
Subscribe to:
Post Comments (Atom)





0 comments
Post a Comment